Tuesday, November 26, 2013

Alahan semasa hamil..

Tempoh masa trimester pertama biasanya berlangsung selama lebih kurang 14 minggu dari tarikh akhir anda datang haid. Ketika inilah tubuh badan anda sedang bekerja keras untuk menghasilkan satu fenomena yang amat istimewa dan rumit, iaitu pembentukan janin.
Dalam tempoh trimester pertama ini juga tubuh badan anda akan menjalani perubahan yang mungkin tidak begitu ketara dengan mata kasar, tetapi percayalah, perubahan tubuh badan anda tersebut memainkan peranan yang amat penting dalam proses kehamilan.

Minggu 1 hingga 4
Sepanjang minggu ini, bayi anda (dalam tempoh 4 minggu biasanya dikenali dengan nama zigot) memulakan perjalanannya dari salur falopia menuju ke arah uterus. Setelah zigot berjaya melalui proses persenyawaan, ia akan membahagi dan berubah menjadi blastosis. Proses ini dipanggil pembahagian sel.

Di penghujung minggu ke-2
, blastosis ini akan menyempurnakan proses pembahagian sel. Ia kini dikenali sebagai embrio. Dalam tempoh ini, embrio sudah pun tiba di bahagian rahim dan mula menempel di dinding rahim.
DI penghujung minggu ke-4, embrio anda telah mula memiliki jantung yang berdenyut. Namun begitu, pergerakan jantungnya terlalu halus dan hanya boleh dikesan dari 8 minggu ke atas.
Saiz embrio anda sekarang ialah sama dengan buah kismis.

Minggu 5 hingga 7
Dalam tempoh ini, anda akan mula merasakan sesuatu yang berbeza mengenai tubuh anda. Biasanya, wanita akan mengesan bahawa mereka hamil bermula dari minggu 6
ke atas, biasanya setelah mereka lewat datang haid. Pada masa ini juga, kadar hormon hCG akan meningkat dan ini menyebabkan ujian kencing untuk mengesan kehamilan amat berkesan sekiranya digunakan.
Embrio anda pula akan membesar dari saiz sebiji kismis hinggalah ke saiz buah rasberi – lebih kurang setengah inci panjangnya.
Walaupun organ jantina mula terbentuk ketika tempoh ini, namun ia hanya dapat dikesan melalui mesin ultrabunyi bermula dari
minggu 16 ke atas.
Ketika ini juga ruang jantung bayi anda akan mula terbentuk, pankreas mula mengeluarkan insulin dan hati mula berfungsi. Bayi anda juga akan mula membentuk otot badan, dan dia akan bergerak-gerak walaupun anda hanya akan merasakan pergerakan bayi ketika bayi anda lebih besar, iaitu di dalam trimester kedua.

Minggu 8 hingga 14
Minggu 8 hingga 14 dalam trimester pertama merupakan penanda aras pertama dalam proses kehamilan anda! Ini bermaksud anda semakin hampir menamatkan trimester pertama kehamilan anda. Ketika ini, mungkin ada antara ibu hamil mula menampakkan tanda-tanda kehamilan (perut terbonjol, mabuk hamil).
Sehabis tempoh trimester pertama, bayi anda akan membesar sehingga saiz 3 inci panjangnya, ataupun 7.5cm. Telinga dan matanya telah terbentuk dengan sempurna (walaupun matanya masih belum terbuka)  dan juga telah memiliki lidah. Jantung bayi anda kini mampu mengepam darah sebanyak 23 liter setiap hari. Sistem saluran darah juga mula terbentuk dan mula kelihatan di permukaan kulit bayi anda.

Pada masa ini bayi anda akan mula menerima segala nutrien yang diperlukan untuk tumbesaran badannya menerusi uri. Tali pusat juga telah terbentuk dengan sempurna. Biasanya, pergerakan bayi boleh dikesan menerusi mesin ultrabunyi dari minggu ke-8 dan ke atas.


Related Posts

0 komen: